Jangan Terpedaya Harga Murah!!!

Sambungan dari sini.

Maaf sebab lambat publishkan satu lagi keratan akhbar dari sinar harian.

Melalui keratan ini, ada dapat ketahui beberapa tip dan panduan rumah lelong.

Anda boleh baca jawapan ringkas yang dapat saya kongsikan melalui soal jawab dari wartawan Nor Atieyah Yusoff.

Semoga bermanfaat untuk anda.

Isnin (18-07-2016) : SEHINGGA kini rumah lelong masih menjadi tarikan utama masyarakat. Namun perlu ditegaskan pembelian rumah tersebut tetap mempunyai risiko tinggi terutamanya kepada pembeli baharu.

Dinasihatkan pembeli agar mempunyai ilmu dan asas mengenai rumah lelong walaupun harganya dijual lebih rendah daripada pasaran.

Ikuti tip dikongsi Muhd Firdaus Zahari.

Jangan Terpedaya Harga Murah - sinar-harian_18-july-2016_02

” Jangan Terpedaya Harga Murah ”

Terlibat secara langsung dalam pembelian rumah lelong, apakah kriteria perlu pembeli lakukan sebelum membeli?

Bagi pembeli pertama kali atau baru berjinak dalam bidang ini, perkara penting adalah mereka perlu ‘SEDIA’. Ia merupakan konsep yang sering dikongsikan kepada pembeli tidak kira lama atau baharu. Huruf S adalah ‘Saving dan Status’, yang mana pembelian rumah lelong memerlukan modal deposit 10 peratus.

Untuk melayakkan memasuki dunia lelong, pembeli wajib menyediakan deposit. Status kelayakan pinjaman juga sangat penting jika ingin beli menggunakan pinjaman bank. Manakala E pula melambangkan ‘Experience’ atau ilmu. Pembeli perlu ada asas dalam proses pembelian rumah lelong.

Begitu juga proses sebelum, semasa dan selepas lelongan. Cara mudah untuk belajar adalah berdasarkan pengalaman orang lain. Huruf D pula membawa maksud ‘Direction’, tujuan dan matlamat pembelian sama ada untuk tinggal atau pelaburan (sewa). Sementara itu, huruf I pula ‘Invest’ (labur).

Invest di sini bukan bermaksud pelaburan hartanah tetapi pelaburan mencari ilmu. Untuk belajar bidang ini ternyata lebih mudah menerusi pelbagai buku atau seminar hartanah.

Tidak menjadi satu kerugian dalam pelaburan untuk ilmu. Terakhir, A membawa maksud ‘Action’. Ia merupakan perkara paling penting, sekiranya tiada tindakan maka kesemua di atas menjadi sia-sia.

Apakah langkah yang perlu dipatuhi pembeli sebelum melakukan pembelian rumah lelong?

Langkah awal yang paling penting adalah ilmu. Setiap perkara ada risiko tersendiri dan ia dapat dielak sekiranya kita mempunyai ilmu.

Tidak kira apa jua bidang yang kita mahu terlibat, asas hartanah harus difahami terlebih dahulu. Jangan terus beli rumah lelong tanpa ada persediaan asas.

Ilmu asas perlu diketahui dalam prosedur lelongan iaitu mengambil tahu apa yang perlu dilakukan bermula sebelum pembelian, persediaan semasa melangkah ke dalam dewan lelongan dan selepas berjaya membeli rumah lelong.

Selain ilmu, modal untuk beli rumah juga perlu disediakan dan dirancang daripada awal.

Berapa modal yang harus disediakan untuk pembidaan?

Ramai sudah tahu bahawa bakal pembeli perlu menyediakan deposit sebanyak 10 peratus daripada jumlah yang ditawarkan pihak bank. Selain deposit, kos lain juga perlu disediakan untuk melancarkan proses pembelian selepas berjaya membida harga rumah.

Sebagai contoh, upah atau bayaran untuk peguam pindah milik, pinjaman, tunggakan, pembaikan, ejen, ubah suai, setem hasil, cukai dan sebagainya. Sebaiknya untuk beli rumah lelong perlu ada modal sekurang-kurangnya 15 hingga 18 peratus daripada harga rumah yang ingin dibeli.

Ramai yang masih mengambil mudah dalam pembelian, mungkin anda ada nasihat kepada pembeli di luar sana?

Memang betul, ramai orang mudah tertarik kepada perkataan ‘harga murah’. Rumah lelong memang memberikan peluang untuk mereka yang ingin mendapatkan rumah bawah harga pasaran. Tapi harga murah itu tidak bermaksud rumah itu betul-betul murah.

Ada rahsia-rahsia yang perlu kita ambil tahu supaya tidak tertipu dan diperdaya dengan harga murah. Contohnya, kita perlu mengambil tahu lebih awal akan terma dan syarat khusus untuk rumah lelong. Kita perlu baca dan fahami surat jualan (perisytiharan jualan) yang disediakan oleh pelelong sebelum buat keputusan membeli.

Perkara paling penting adalah mengambil tahu nilai tunggakan ditanggung dan tidak ditanggung oleh pihak bank. Dari situ, kita dapat buat kira-kira harga rumah sama ada berbaloi atau tidak dibeli.

Ramai pembeli mengadu sering tertipu dengan rumah yang dibeli, bagaimana anda melihat situasi ini?

Ditipu atau tidak bergantung kepada ilmu. Jadi langkah awal untuk elak dari ditipu adalah mendalami ilmu atau minta bantuan pada mereka yang lebih tahu. Dengan adanya ilmu dan mendapatkan bimbingan daripada mereka yang berpengalaman dapat minimumkan risiko.

Ia juga membantu daripada ditipu. Sekali lagi saya ingin ingatkan, pastikan pembeli sudah membuat persediaan awal sebelum membeli rumah lelong.

Rumah lelong mungkin harganya lebih rendah daripada harga pasaran, namun apakah masalah yang sering dihadapi pembeli untuk membeli hartanah jenis itu?

Memang tidak dinafikan, rumah lelong dijual di bawah harga pasaran. Biasanya kurang 10-30 peratus daripada harga pasaran semasa. Untuk kes-kes tertentu, harga rizab rumah ini akan turun 10 peratus dari harga asal jika pada hari lelong sekiranya tiada pembeli. Jadi harga murah itu bukan bermaksud rumah tersebut bermasalah.

Sebenarnya tiada masalah khusus untuk pembeli membeli rumah lelong dengan harga murah ini.

Sebab sesiapa sahaja boleh beli rumah lelong dengan syarat telah baca terlebih dahulu terma jualan lelong dan pastikan tiada apa-apa sekatan dari segi kelayakan untuk membeli.

Sebagai contoh, rumah kos rendah hanya mereka yang bergaji bawah RM3,000 sahaja boleh membeli rumah yang akan dilelong. Jika terma ini dinyatakan dengan jelas, maka pembeli tersebut tidak boleh membeli rumah jika gaji lebih RM3,000.

Lokasi bagaimana yang mempunyai potensi untuk dijadikan pelaburan atau aset?

Lokasi merupakan salah satu faktor penting untuk pelaburan. Lokasi memainkan peranan untuk menentukan sama ada kawasan tersebut mempunyai permintaan atau sebaliknya.

Jadi, pemilihan aset untuk pelaburan sebaiknya memilih rumah atau hartanah yang kurang penawaran tetapi ramai yang berminat sama ada disewakan atau jual semula selepas harganya meningkat naik.

Antara pilihan lain adalah mencari rumah yang berhampiran dengan bandar utama atau berhampiran universiti kerana rumah sekitar kawasan ini mudah untuk disewakan.

Sekali lagi ingin saya ingatkan, jangan hanya tertarik dengan harga murah dan jangan terpedaya harga murah sahaja. Perkara yang paling penting anda pilih rumah & hartanah yang betul-betul berbaloi dan lebih murah dari harga pasaran semasa.

Sumber dari Sinar Harian disini.
(Rumah lelong: Jangan terpedaya harga murah)

Leave a Comment

error: Content is protected !!