Peranan Perunding Rumah Lelong

Peranan Perunding Rumah Lelong / Hartanah

Rasanya dah lama tak masukan artikel baru di web ni.

Hari ini saya nak kongsikan dengan anda satu wawancara yang telah dimuatkan di dalam akhbar Sinar Harian pada 18-07-2016.

Semoga soal jawab ini dapat berikan anda beberapa info dan makluman tentang hartanah & rumah lelong.

Diharapkan juga, wawancara dalam akhbar ini dapat dijadikan sebagai satu profil untuk anda kenali saya dan zonlelong.

.

BERMULA secara tidak sengaja, Muhd Firdaus Zahari, 30, sebenarnya kurang berminat dengan bidang hartanah kerana belum jelas dengan potensi bidang tersebut.

Pada awalnya, dia melihat bidang itu tidak memberi sebarang kelebihan kepadanya namun segalanya berbeza setelah terlibat secara langsung dalam hartanah.

“Atas desakan rakan, saya melibatkan diri dalam bidang ini dan mendapati potensi cukup luas sekiranya ia diterokai lebih mendalam.

“Apabila memasuki bidang hartanah, saya mula berkenalan dengan mereka yang lebih awal berkecimpung dan mempunyai pengalaman lama,” katanya.

Malah dia juga tidak menyangka hartanah mempunyai skop lebih meluas dan menjanjikan pulangan lumayan kepada mereka yang berusaha menerokai bidang tersebut.

Peranan Perunding Rumah Lelong - sinar-harian_18-july-2016

PERANAN PERUNDING RUMAH LELONG

Menurutnya, berada dalam bidang itu membolehkan dia melihat banyak kelebihan dan peluang yang ada, tidak semestinya lelongan rumah sahaja.

“Saya sangat bertuah kerana dapat berkenalan dengan mereka yang sudah lama dalam bidang ini dan tidak kedekut ilmu berkongsi dengan yang baharu.

“Malah perkongsian dan dorongan daripada mereka menjadi pemangkin semangat untuk saya terus belajar dan menguasai bidang ini,” katanya.

Tidak ingin mendabik dada, Muhd Firdaus berasakan dia masih lagi orang baharu dan sentiasa mencari peluang untuk mempelajari bidang hartanah.

Bermula sebagai penilai hartanah pada 2007 di sebuah syarikat Bumiputera, dia hanya mampu bertahan selama tiga tahun sebelum meletakkan jawatan.

Secara tidak langsung, dia mengenali sahabat baharu yang bekerja dalam bidang hartanah sehingga membuatkannya tertarik untuk mengikuti kenalan itu.

“Ketika itu, saya mula fokus dalam hartanah lelong pada sekitar 2010 dan terus jatuh cinta dengan bidang ini sehingga sekarang.

“Dalam tempoh masih pendek, bidang hartanah telah menemukan saya dengan pelbagai pengalaman menarik sepanjang bekerja,” katanya.

Cabaran terbesar baginya ketika mengosongkan rumah lelong yang masih mempunyai penyewa atau diduduki pemilik asal, begitu juga dengan rumah yang ditinggal kosong dalam tempoh lama.

Katanya, setiap bidang ada cabaran dan pengalaman berbeza apatah lagi rumah lelong kerana melibatkan emosi dan mental semua yang terlibat.

“Biarpun sudah terlibat selama enam tahun, saya berasakan diri ini masih belum menguasai sepenuhnya ilmu lelongan.

“Masih banyak yang perlu saya lalui dan pelajari bagi melengkapkan ilmu sebagai perunding rumah lelong,” katanya.

Terutama tugasnya memerlukan dia menyediakan perkhidmatan, nasihat dan rundingan kepada mereka yang ingin membeli rumah lelong dengan langkah betul.

Sebagai perunding hartanah, dia perlu memastikan bakal pembeli mengetahui ilmu asas ketika proses pembelian dari awal sehingga akhir terutamanya tujuan pembelian.

“Di awal pembabitan, saya mendapati tidak ramai golongan Bumiputera menceburi bidang ini dan berazam untuk meningkatkan tahap kesedaran orang ramai.

“Maklum balas yang diterima daripada pembeli-pembeli yang pernah mendapat khidmat nasihat dan bimbingan menjadi motivasi dalam meneruskan kerjaya dalam bidang ini,” katanya.

Menurutnya, hartanah merupakan sesuatu aset yang unik dan bernilai.

Keunikan hartanah itu terletak pada kedudukan dan lokasi di kawasan tersebut kerana ia tidak boleh dialih atau dipindahkan.

Malah penyebab nilai hartanah sentiasa meningkat setiap tahun adalah kerana penawaran untuk sesuatu kawasan dan lokasi menjadi semakin terhad.

“Keistimewaan lain adalah disebabkan permintaan untuk memiliki rumah dan hartanah sentiasa ada setiap hari.

“Atas sebab ini, saya ingin mengetahui lebih banyak rahsia dan peluang yang ada dalam industri ini,” katanya.

Dipetik dari Sinar Harian atau anda boleh lihat disini.
(Peranan Perunding Rumah Lelong)

Anda boleh baca sambungannya disini.

Leave a Comment

error: Content is protected !!